Malaysia bukan negara transit dadah: PDRM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Malaysia dijadikan sasaran sebagai negara transit penyeludupan dadah sebelum dipasarkan ke negara ketiga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, banyak negara lain turut dijadikan sebagai transit kerana sindiket ini sentiasa mengambil peluang yang ada.

"Bila ada ruang, mereka (sindiket) akan ambil. Jika kita miliki strategi, mereka juga begitu. Itu adalah 'pattern' sindiket.

"Jadi, sebagai langkah penguatkuasaan, kita sentiasa bekerjasama bersama semua agensi keselamatan dengan memperketat kawalan dari setiap sudut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pihaknya sama sekali tidak akan memberi peluang untuk sindiket itu bertapak dan cuba menyusup masuk ke dalam negara.

Mohd Khalil berkata, pihaknya akan mencantas kegiatan tersebut dengan tindakan holistik daripada agensi berkaitan selain keperluan teknologi bagi memastikan penguatkuasaan sentiasa di hadapan.

Hari ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendedahkan dadah jenis ketamin dan kokain bernilai RM676 juta yang dirampas dalam dua serbuan di Selangor dengan tangkapan 13 individu pada Ahad lalu, dipercayai adalah untuk dipasarkan ke negara ketiga.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abdul Halim berkata, siasatan mendapati dadah terbabit dibawa masuk dari Pakistan dan Ecuador ke Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke dua premis.

Artikel Berkaitan: