Tukar nama MySC tak selari dengan manifesto PH

Abdul Aziz pada sidang media mengulas isu tersebut di pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Aziz pada sidang media mengulas isu tersebut di pejabatnya di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjenamakan Hari Sukan Negara (HSN) kepada bahasa Inggeris tidak selari dengan manifesto PH sebagaimana yang tertera dengan jelas dalam Buku Harapan pada halaman 12.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, penukaran nama HSN kepada Malaysia Sports Challange (MySC) juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Apa yang dilakukan oleh KBS ini bertentangan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan saya tidak faham bagaimana Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengatakan tindakan menukar nama kepada MySC tidak melanggar perlembagaan sepertimana dilaporkan media.

"Bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan negara, sebagaimana yang tertera dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memartabatkan kedudukan bahasa Melayu, khususnya Perkara 152 (6) juga tidak selari dengan manifesto PH," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini bagi mengulas tindakan KBS yang menukarkan nama HSN 2019 kepada MySC 2019 yang hangat diperkatakan masa ini.

Menurut Abdul Aziz, tindakan Steven juga turut mencerminkan pendirian kerajaan Persekutuan sedangkan Kabinet sebagaimana organisasi lain di dalam Persekutuan tertakluk dan berada di bawah Perlembagaan.

Dalam pada masa sama Abdul Aziz turut memuji ketegasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegur KBS berhubung insiden berkenaan dan ia wajar dicontohi agensi dan jabatan kerajaan yang lain.

"Keberanian dan ketegasan ini patut dipuji dan harus dicontohi agensi lain memandangkan DBP menunjukkan contoh yang baik dalam menjunjung Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak perlu menyokong tindakan DBP di atas ketegasannya memelihara dan mengembangkan bahasa Melayu," katanya.