Syor batal semua konsesi, bela nasib kontraktor kecil

Safaruddin (kiri) menyerahkan memorandum kepada Khairul Shahril.
Safaruddin (kiri) menyerahkan memorandum kepada Khairul Shahril.
A
A
A

IPOH - "Batalkan semua konsesi," itu kenyataan daripada wakil Jawatankuasa Bertindak Kontraktor Negeri Perak yang mahu semua konsesi di negara ini dibatalkan demi membela nasib kontraktor-kontraktor kecil.

Safaruddin Ari berkata, kewujudan konsesi telah mengakibatkan pihak kontraktor kecil sedia ada kehilangan projek dan seterusnya menjejaskan pendapatan masing-masing.

Menurutnya, kesemua projek perlu diberikan semula kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang lebih arif dan diangkat oleh kerajaan sendiri sebelum ini.

"Inilah suara yang mewakili negeri Perak. Bila berlakunya konsesi yang diputuskan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, ia seperti tidak lagi memberikan ruang yang lebih kepada kontraktor-kontraktor di peringkat negeri.

"Tujuan kita serahkan memorandum ini adalah untuk kerajaan fikirkan keperluan konsesi ini kerana kerajaan putuskan untuk membuka kontraktor G1 semula.

"Ini sekali gus akan menyaksikan pertambahan kontraktor. Ini bukan soal saingan, tetapi masalah golongan muda yang baru nak berniaga tak dapat nak bersaing," katanya.

Safaruddin berkata pada sidang media sempena Perhimpunan Malaysia Baharu Mansuh Konsesi Baru dilantik di Pihak Berkuasa Tempatan dan serahan memorandum kepada Kerajaan Negeri Perak di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebahagian ahli jawatankuasa berkenaan yang hadir pada sidang media tersebut. (Gambar kecil: Mohd Haware)
Sebahagian ahli jawatankuasa berkenaan yang hadir pada sidang media tersebut. (Gambar kecil: Mohd Haware)

Pendapat itu dipersetujui oleh seorang lagi wakil jawatankuasa berkenaan, Mohd Haware Tanmuzi yang menyifatkan kontraktor kecil tidak lagi berpeluang mendapatkan kerja undi sebagaimana sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja undi yang dibuat setiap tahun itu adalah rezeki masing-masing, tetapi apabila berlaku konsesi ia telah menutup terus peluang pihak kontraktor kecil untuk mendapat kerja undi.

"Perkara macam ni bagai mencantas terus rezeki kami. Kami bayar lesen, tapi tiada peluang.

"Dah jadi macam tol, duit dia pegang dan duit itu untuk dia sahaja; sama ada nak bagi kepada kontraktor tidak berlesen atau terus kepada kami tapi syaratnya sukar," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Khairul Shahril Amin yang menerima memorandum berkenaan menegaskan, pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, apa juga keputusan akan dimaklumkan oleh Menteri Besar sendiri.