Kebakaran hutan Amazon: Presiden Brazil tolak campur tangan asing

Gambar satelit kebakaran hutan di Amazon pada 16 Ogos lalu. - Foto NASA/NOAA/VIA REUTERS
A
A

BRASILIA - Di sebalik kritikan antarabangsa berhubung kebakaran hutan hujan di Amazon, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro semalam mengakui kemungkinan petani bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut namun pada masa mengingatkan kuasa luar agar tidak campur tangan.

Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres meluahkan kebimbangan berhubung kebakaran hutan hujan berkenaan menerusi laman Twitter.

Macron menyifatkan kebakaran itu sebagai 'krisis antarabangsa' dan ia perlu dibincangkan dalam Sidang G7 yang akan bermula esok di Biarritz, Perancis.

Persidangan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan Brazil.

Guterres pula berkata, Amazon perlu dilindungi dan kita tidak boleh membiarkan lebih banyak kerosakan berlaku terhadap sumber utama oksigen dan biodiversiti itu.

Bolsonaro yang berang dengan kenyataan tersebut menganggapnya sebagai satu campur tangan.

"Negara-negara yang menghantar wang ke mari, mereka menghantarnya bukan atas dasar kebajikan sebaliknya bertujuan untuk mengganggu kedaulatan kami," kata Bolsonaro menerusi siaran Facebook Live.

Beliau bagaimanapun sebelum ini mendakwa Brazil kekurangan sumber untuk mengekang kebakaran tersebut.

Angka kerajaan menunjukkan, kebakaran di Amazon meningkat 83 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun kebakaran kerap berlaku ketika musim kering, namun para aktivis alam sekitar menyalahkan kenaikan mendadak kebakaran dengan tindakan petani yang membakar hutan bagi membersihkan kawasan untuk tujuan pertanian. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran hutan Amazon makin merebak

Kebakaran hutan hujan Amazon beri kesan buruk