Gojek: Saran laksana tempoh percubaan

Gambar kecil, Mustafar Rahadi.
A
A

IPOH - Kerajaan disaran menjalankan tempoh percubaan terlebih dahulu sekiranya ingin memperkenalkan perkhidmatan Gojek di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak, Mustafar Rahadi berkata, ia ekoran tidak sesuai untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut secara meluas dan serentak seluruh negara atas faktor keselamatan.

"Jika tanya saya, saya akan jawab 70 peratus tidak setuju Gojek dilaksanakan di Malaysia, tetapi jika kerajaan ingin melaksanakannya juga mereka perlu melakukan percubaan terlebih dahulu.

"Maksud percubaan ini adalah kerajaan perlu mencari satu lokasi iaitu kawasan bandar yang dirasakan sesuai untuk perkhidmatan Gojek dan laksanakannya dalam tempoh beberapa bulan terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, sebelum melaksanakan tempoh percubaan berkenaan kerajaan juga perlu duduk semeja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi keselamatan lain bagi membincangkan pelaksanaannya.

"Mereka perlu melihat beberapa faktor dalam tempoh percubaan dari segi keselamatan pembonceng Gojek seperti kejadian jenayah mahupun kemalangan untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Mustafar berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan tahap ujian menunggang motosikal negara yang masih rendah berbanding negara lain kerana itu penunggang negara kita masih kurang dari segi teknik pemanduan motosikal.

"Banyak faktor perlu dilihat semasa percubaan Gojek dijalankan jika ia dilaksanakan selain turut mendapatkan pandangan daripada mufti mengenai hubungan bukan muhrim antara penunggang dan pembonceng," katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof memberitahu bahawa jemaah menteri memutuskan kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, keputusan dibuat supaya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan tanggungjawab mewujudkan ruang serta undang-undang untuk Gojek.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia