Dua pasangan kekasih kaki samun diberkas

Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa daripada suspek.
Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa daripada suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan dua pasangan kekasih dipercayai ahli Geng Satria dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di Taman Merbau Indah, Butterworth pada jam 1 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dengan penahanan kesemua suspek itu, polis berjaya menumpaskan beberapa kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar Kedah dan negeri ini.

Menurutnya, semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun itu ditahan selepas risikan dijalankan dua minggu lalu.

"Polis menerima laporan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah ini. Sehubungan itu, kita menjalankan risikan serta intipan dan berjaya menahan kesemua suspek. Hasil penahanan suspek, kita merampas dua buah kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa.

"Kedua-dua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai dicuri geng berkenaan. Ia sebagai kenderaan digunakan keempat-empat suspek tersebut melakukan jenayah.

"Kita turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil curi antaranya komputer riba, televisyen, peralatan elektrik, sejumlah anak kunci dan pelbagai kad bank. Kesemua barang rampasan tersebut bernilai lebih RM50,000," katanya pada sidang media di sini tadi.

Noorzainy (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek.
Noorzainy (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek.

Noorzainy berkata, polis turut merampas sepana, pemutar skru, tukul besi dan pemotong besi dipercayai digunakan geng tersebut untuk kegiatan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati, Geng Satria ini terlibat dengan puluhan kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah termasuk pecah taska di sekitar daerah ini dan Seberang Perai Tengah selain di Kedah iaitu Kulim dan Sungai Petani. Mereka dipercayai aktif melakukan jenayah ini sejak tahun lalu.

"Semakan mendapati, ketua geng iaitu lelaki berusia 29 tahun mempunyai 13 rekod lampau dan dikehendaki polis berkaitan kes pecah rumah di Kubang Semang. Sementara dua lagi ahli kumpulan tersebut masing-masing mempunyai satu dan dua kes lampau manakala seorang lagi tiada rekod," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek yang tidak bekerja itu positif dadah.

Katanya, kesemua mereka kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, polis menahan dua lelaki selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kedai perkakasan di sekitar daerah ini.

Noorzainy berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 27 tahun itu melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

"Seorang rakan mereka berjaya melarikan diri ketika serbuan pada Selasa lalu. Serbuan dibuat sejurus polis menerima maklumat daripada seorang lelaki bahawa dua lelaki telah memecah masuk sebuah kedai perkakasan di Bagan Ajam pada jam 5.10 pagi.

"Polis yang tiba di lokasi kejadian telah mengepung kawasan tersebut selama setengah jam dan berjaya menahan dua suspek walaupun salah seorangnya bertindak terjun dari bangunan kedai berkenaan.

"Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Mat Cabai berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih. Usaha mengesan lelaki berusia 30-an itu giat dijalankan," katanya.

Tambahnya, dua suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod lampau selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

"Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek terlibat dalam beberapa kes curi sarang burung walet di sekitar daerah SPU.

"Kedua-duanya kini direman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.