Teksi motosikal perlu kajian teliti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISNIN lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi teruja hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal.

Pertemuan itu diadakan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Nadiem Makarim iaitu pengasas perkhidmatan teksi motosikal tersohor berasal dari Indonesia dikenali sebagai Gojek diberitakan positif.

Perkongsian itu seolah-olah petanda perkhidmatan Gojek atau teksi motosikal itu bakal melebarkan sayap bisnes ke Malaysia selepas Singapura, Vietnam dan Thailand.

Ia manifestasi niat menteri untuk memastikan golongan muda yang beliau sebut sebagai ‘mat motor’ diberi peluang pekerjaan.

Semalam akhirnya cadangan perkhidmatan Gojek diluluskan Kabinet.

Walau bagaimanapun, sebarang pelaksanaan Gojek hakikatnya perlu bersandarkan kajian yang lebih teliti.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow dalam responsnya terhadap cadangan itu berkata, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira kerajaan sebelum melaksanakan perkhidmatan tersebut seperti faktor perundangan, insurans, keselesaan dan paling penting kesan keselamatan pengguna terutamanya pemilik motosikal itu sendiri.

Isu keselamatan perlu diberi tumpuan memandangkan motosikal berisiko kemalangan maut agak tinggi berbanding kenderaan lain.

Artikel Berkaitan:

Pihak kerajaan juga harus meminda beberapa peruntukan undang-undang jalan raya sedia ada bagi memastikan perkhidmatan teksi motosikal sah untuk disediakan dan digunakan.

Satu bentuk peraturan terperinci juga perlu dibentuk untuk mengawal selia perkhidmatan supaya pihak terlibat terutama pelanggan mengetahui hak mereka dengan lebih jelas dan langkah perlu diambil jika berlaku perkara tidak diingini.

Maklumat itu harus menjadi dacing kerajaan mengimbangi keghairahan membantu golongan belia.

Kalau pun semua kebimbangan itu dikenal pasti kerajaan dan dapatan kajian membolehkan perkhidmatan itu dilaksanakan, utamakanlah usahawan tempatan. Sebelum ini, kita pernah ada teksi motosikal Dego Ride apa!