Kaji semula bayaran gaji tangani miskin bandar

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak ada jalan terbaik lain untuk membantu mengurangkan jumlah miskin bandar di negara ini, selain daripada kerajaan dan majikan swasta berusaha mengkaji semula kadar bayaran gaji kepada kakitangan mereka.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, situasi yang dialami golongan miskin bandar dan luar bandar adalah jauh berbeza.

"Miskin bandar lebih teruk, mereka berpendapatan rendah dan hanya mampu menyewa rumah pangsa diasak pula dengan kos tinggi untuk membeli barangan keperluan makan dan minum yang terus naik.

"Apabila kumpulan miskin bandar ini pergi ke pasar misalnya untuk membeli sayur, ikan, atau ayam, semua ini kos sudah naik, tapi gaji mereka tidak pernah dinaikkan.

"Majikan bagi pelbagai alasan, contohnya perniagaan tidak baik jadi mereka tidak boleh naikkan gaji pekerja, keadaan ini terus menekan golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya lagi, di luar bandar, kos sara hidup lebih rendah kerana jika tidak ada duit untuk berbelanja, mereka masih boleh bercucuk tanam di sekitar rumah atau menangkap ikan di sungai.

"Sebab itu golongan miskin bandar berdepan tekanan hidup yang sangat serius. Mereka sanggup lakukan dua kerja dalam tempoh 24 jam yang ada. Siang mungkin kerja pejabat atau kilang, malam hari mereka jadi pemandu teksi, penghantar makanan dan lain-lain hanya untuk tampung kos hidup harian," katanya.

Beliau menambah, statistik yang dikeluarkan tahun-tahun lepas sudah tidak berapa relevan berbanding masalah yang dihadapi hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Bebanan kewangan miskin bandar menikam setiap sudut kehidupan, nak pergi kerja kena bayar tambang pengangkutan awam, kalau bawa kenderaan sendiri kena tanggung harga petrol dan tol.

"Sudahlah kena bayar kos pengangkutan, mereka juga terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas, isu-isu harian ini mendatangkan stress, ini sudah membiakkan satu lagi masalah lain.

"Kesibukan ibu bapa bekerja mencari wang, mengakibatkan anak-anak membesar tanpa kasih sayang dan perhatian. Sehingga mereka liar dan terlibat dengan jenayah, dadah dan penyakit sosial lain," katanya.