Gagal hadir mesyuarat: PKR belum buat keputusan terhadap Azmin

Ahmad (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Biro PKR hari ini.
Ahmad (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Biro PKR hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - PKR belum menetapkan sebarang tindakan terhadap Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal menghadiri beberapa siri mesyuarat yang dianjurkan parti itu.

Biro Politik PKR memberitahu, buat masa ini parti belum mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada Timbalan Presiden PKR.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata, setakat ini belum ada apa-apa keputusan atau tindakan disiplin terhadap Timbalan Presiden PKR yang tak hadir mesyuarat.

“ Tidak ada surat peringatan yang kita keluarkan kepada Timbalan Presiden PKR, sebab dia tak buat apa-apa yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan

“Tak hadir mesyuarat biro politik itu bukan bidang urusan lembaga disiplin, itu urusan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad menjelaskan, Lembaga Disiplin PKR tidak mengenakan tindakan disiplin terhadap Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ahmad berkata, setakat ini biro politik parti berpuas hati dengan penjelasan Amirudin dan Farhash yang telah memberi penjelasan dan memohon maaf.

"Amirudin dan Farhash sudah bagi respons dan jawab surat peringatan yang saya berikan.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini saya bentangkan kepada biro politik dan intipati jawapan yang mereka berikan secara umumnya, biro politik menerima penjelasan daripada mereka," katanya.

Pada 25 Julai lalu, Lembaga Disiplin telah menghubungi Farhash dan Amirudin serta beberapa anggota parti yang lain.

Kedua-dua mereka diminta memberi penjelasan berkenaan kenyataan-kenyataan mereka baru-baru ini, berkait isu video seks sejenis yang tular pada Jun lalu.

Farhash diminta surat tunjuk sebab kerana kenyataan 'Azmin semburit' yang dilaungkan selepas dibebaskan daripada reman lapan hari dalam siasatan berkaitan video seks sejenis.

Manakala Amiruddin diminta membuat surat tunjuk sebab atas kenyataan yang dibuatnya pada majlis solat hajat di kediaman rasminya pada 21 Julai lalu.

Ahmad memberitahu, Amirudin telah menunjukkan satu sifat yang baik dan menghormati kepimpinan malah menyatakan beliau tak berhasrat untuk memanjangkan isu ini.

Katanya, malah beliau (Amirudin) lebih berusaha supaya proses perdamaian dan meredakan pertikaian dalam kepimpinan.

“Apa yang beliau curahkan hanya pandangan umum dan tidak menyentuh mana-mana pihak, susulan itu biro politik menerima baik penjelasannya.

“Begitu juga Farhash yang menyesali kenyataannya dan memohon maaf pada kepimpinan dan beliau berikrar tidak akan mengulangi kenyataan tersebut serta berazam untuk menjaga tatatertib sebagai pimpinan," katanya.