Bendera terbalik: Boleh dikenakan tindakan undang-undang, dipenjara

Gambar kecil: Mohd Kamarudin Md Din
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memandang serius insiden penghinaan terhadap bendera Malaysia yang dipasang atau digantung secara terbalik.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mana-mana pelaku yang sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk penjara.

"Kebelakangan ini telah dikesan beberapa insiden melibatkan penghinaan terhadap bendera Malaysia, Jalur Gemilang sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud yang tidak sewajarnya.

"Keadaan ini telah memberi persepsi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara. Polis Johor amat memandang serius tentang perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di beberapa kawasan malah ada yang mendakwa tindakan itu turut berlaku di negeri ini.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, mana-mana pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

"Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

"Kesalahan ini boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kedaulatan negara dan tidak menyebarkan berita-berita yang tidak sahih serta boleh mengganggu gugat keamanan negara.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia