Lelaki bertopi biru curi tabung masjid

Lelaki bertopi biru yang disyaki melarikan wang tabung Masjid al.Ikhsan Tebong, Sabtu lalu.
Lelaki bertopi biru yang disyaki melarikan wang tabung Masjid al.Ikhsan Tebong, Sabtu lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai telah melarikan wang tabung Masjid Al Ikhsan, Tebong di sini Sabtu lalu membabitkan kerugian kira-kira RM400.

Gelagat individu memakai topi biru dan membawa sebuah beg kecil dipercayai berisi peralatan sebelum mengumpil dan merosakkan mangga tabung berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kehilangan itu disedari ahli jawatankuasa masjid yang datang untuk menunaikan solat Asar selepas mendapati tabung masjid yang diletakkan di pintu masuk ruang solat berada di atas lantai.

Menurutnya, pengadu kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengerusi masjid dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Tebong untuk tindakan lanjut.

"Pengadu turut memaklumkan tabung masjid itu masih berada dalam keadaan baik lebih kurang jam 1.30 petang iaitu selepas mereka menunaikan solat Zohor berjemaah dan percaya perbuatan itu dilakukan sekitar jam 2.15 petang.

"Difahamkan, anggaran kerugian itu bagi seminggu kutipan yang sepatutnya dikutip bendahari masjid selepas solat Jumaat. Bagaimanapun ketika kejadian, wang yang diletakkan di dalam tabung masjid tidak dikutip atas alasan bendahari berada di luar kawasan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Artikel Berkaitan: