Lelaki dijel tiga tahun, cederakan orang lain

Tertuduh dijatuhi hukuman tiga tahun penjara selepas mengaku menyebabkan kecederaan, mencuri wang dan menceroboh semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menyerang lelaki tidak dikenali menggunakan pisau sehingga cedera Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Murtazah Md Kasim, 27, turut dikenakan hukuman 12 bulan penjara, masing-masing bagi kesalahan mencuri wang RM40 milik Kedai Runcit Merang dan menceroboh rumah individu tidak dikenali.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh dari Kampung Tok Susun, Kuala Nerus mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Hayyi memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menyerang menggunakan pisau ke atas Mohd Hafizam Rashid, 25.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu kira-kira jam 11 malam, di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus pada 30 Julai lalu.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri wang RM40 di kedai runcit Merang milik Muhamad Amru Wan Mohd Zubir, 23, kira-kira jam 10.30 hari sama kejadian.

Selain itu, pada hari dan lokasi sama, tertuduh didakwa menceroboh kediaman milik Engku Bariah Che Ku Nera, 50, dan didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan seorang pencuri nekad memecah masuk rumah salah seorang penduduk untuk bersembunyi bagi mengelak ditangkap selepas tindakannya mencuri duit di sebuah kedai runcit disedari penduduk kampung.

Dalam kejadian itu, lelaki tempatan berusia 27 tahun itu dikatakan bertindak agresif apabila menikam dua lelaki termasuk seorang pemilik rumah sejurus memasuki rumah berkenaan dengan sebilah pisau di bawanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia