Suspek pecah rumah dicekup

Suspek dipercayai memotong jeriji tingkap rumah mangsa sebelum melakukan jenayah pecah rumah di Taman Sutera Wangi Batu Berendam, Ahad lalu.
Suspek dipercayai memotong jeriji tingkap rumah mangsa sebelum melakukan jenayah pecah rumah di Taman Sutera Wangi Batu Berendam, Ahad lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki disyaki terbabit dalam dua kes pecah rumah di Taman Sutera Wangi Batu Berendam di sini dicekup dalam Ops Pintu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah petang semalam.

Dalam operasi lebih kurang jam 6.20 petang itu, turut dirampas beg kecil mengandungi satu peket dadah jenis heroin dan syabu selain alat timbang berat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di sebuah lorong di Taman Desa Idaman Durian Tunggal ketika duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek yang beralamat di Felda Machap, Alor Gajah mengakui terlibat dalam dua kes pecah rumah dan modus operandinya masuk ke dalam rumah mangsa yang tidak berpenghuni melalui tingkap belakang rumah yang diumpil dan jeriji tingkap turut dipotong.

"Siasatan awal turut mendapati suspek mengakui melakukan kegiatan itu seorang diri, manakala pemeriksaan lanjut mendapati dia mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan lima kes jenayah," katanya.

Afzanizar menambah, polis berjaya memberkas lelaki terbabit dalam tempoh 26 jam selepas seorang mangsa membuat laporan polis setelah rumahnya dipecah masuk Ahad lalu.

Sehubungan itu suspek direman hingga 26 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: