10,000 dijangka hadiri Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914

Annuar (kiri) bersama Takiyuddin dalam sidang media di Menara Datuk Onn hari ini. - Foto Sinar Harian
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas menjangkakan Himpunan Penyatuan Ummah akan dihadiri 10,000 ahli dan penyokong parti sempena majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September depan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, muafakat itu akan menjadi alternatif baharu kepada rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, perhimpunan itu nanti turut disertai parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC serta rakan gabungan Pas dalam Gagasan Sejahtera.

"Tak kurang 10,000 dijangka hadir membabitkan pemimpin parti, ahli serta penyokong kedua-dua parti dan juga parti sahabat.

"Apa yang kita UMNO, Pas lakukan ini bersifat dinamik menjurus ke arah PRU15," katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Piagam Muafakat Nasional akan ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mungkin peristiwa penyatuan kerjasama politik ini bakal menggusarkan Pakatan Harapan (PH), kami tidak kisah. Kerjasama ini menjurus kepada persiapan PRU15.

“Kerjasama UMNO dan Pas ini tidak seharusnya menjadi kekhuatiran kepada masyarakat bukan Islam di negara ini kerana ajaran Islam sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan masa depan semua kaum,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia