X

Kindly register in order to view this article
!

Mahu Yew Yin dikenakan tindakan tegas

Badrulhissam
A
A

KUALA PILAH - Walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh ahli perniagaan, Koon Yew Yin terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kenyataannya sebelum ini, Pertubuhan Pahlawan Patriotik Rakyat Malaysia (Pahlawan Patriotik) Negeri Sembilan bertegas mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadapnya.

Setiausaha pertubuhan itu, Badrullhissam Ismail berkata, sungguhpun Yew Yin telah membuat kenyataan maaf, laporan polis terhadapnya tetap diteruskan atas prinsip undang-undang ekoran tidak mahu perkara itu berulang kembali.

"Kami tidak mengusik urusan hariannya, tetapi dia sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, kebencian terhadap pasukan tentera.

ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera

"Rakyat Malaysia aman damai, namun disebabkan penulisannya yang berlebih-lebihan telah mencetuskan pertelagahan, nama buruk tentera, dan mengancam keselamatan negara," katanya ketika ditemui media di Balai Polis Seri Menanti di sini pagi ini.

Pahlawan Patriotik membuat laporan polis di Balai Polis Seri Menanti di sini hari ini.
Pahlawan Patriotik membuat laporan polis di Balai Polis Seri Menanti di sini hari ini.

Terdahulu, dua laporan polis telah dibuat oleh Pahlawan Patriotik terhadap Yew Yin diiringi 30 ahlinya yang berarak menyanyikan lagu 'Inilah Barisan Kita' sebelum masuk ke perkarangan balai polis.

Badrullhissam berkata, pihaknya menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara terperinci tanpa prejudis menyiasat dan bertindak segera terhadap penulis hasutan kebencian tersebut yang boleh menjejaskan keamanan negara.

"Kesalahan itu yang boleh dikenakan menerusi Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 499/500/505 Kanun Keseksaan dan Panel Kod Seksyen 121 iaitu melancarkan atau cuba melancarkan perang atau bersubahat dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri," katanya.

Yew Yin dalam kenyataan sebelum ini meminta agar kerajaan memecat penjawat awam dan menyemak semula senarai kakitangan di sektor kerajaan.

Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan warga ATM hanya tahu makan dan tidur sahaja.

Bagaimana pun, selepas mendapat kecaman ramai, Yew Yin akhirnya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak selain telah membuat permohonan maaf kepada anggota tentera yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.