Tudung merdeka trend raikan sambutan Hari Kebangsaan

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Trend tudung bercorak bendera Malaysia dan bunga raya antara tarikan baharu terdapat di pasaran sempena Hari Kebangsaan yang bakal disambut tidak lama lagi.

Warna Jalur Gemilang iaitu merah, kuning, biru dan putih dipilih sebagai warna asas tudung yang didatangkan dalam bentuk selendang dan bawal.

Peniaga, Nurul Hanis Isman, 30, berkata, trend itu menjadi pilihan pelanggan yang inginkan kelainan untuk menyambut Hari Kebangsaan kali ini.

“Saya dan lapan lagi pekerja saya berhempas pulas mencari idea untuk rekaan tudung merdeka supaya dapat memberi pengalaman eksklusif kepada pelanggan yang mahukan kelainan pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya.

“Tudung itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang inginkan tudung ini sama ada untuk dijadikan sebagai koleksi atau memakainya pada hari sambutan,” katanya.

Tinjauan mendapati banyak tudung keluaran khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dijual di kompleks membeli belah di sekitar pusat bandar ini dan juga dalam talian.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nabila Hudda Yusoff, 23, berkata, tudung bercorak bendera Malaysia adalah idea menarik bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.

“Selama ini kita sering lihat kemeja-T dicetak dengan corak bendera Malaysia, namun tidak banyak yang menjadikan tudung sebagai salah satu tarikan baru,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, butik dalam talian, El Zahraa, tampil dengan empat tudung edisi terhad merdeka yang dinamakan Hibiscus with Water Colour Splash, Malaysiaku Tanah Airku, The Colours of Malaysia dan The Lights of KL City; dengan setiap corak yang dikeluarkan hanya terhad 50 helai untuk dipasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alyssa Holdings Sdn Bhd yang juga pemilik butik dalam talian itu, Emma Kasmima Khairudin berkata, butik itu kali pertama memperkenalkan tudung edisi terhad itu mula dijual menerusi akaun laman sosial Facebook ‘El Zahraa’ sejak 1 Ogos lalu.

Setiap tudung bersaiz 48 inci kali 48 inci yang menggunakan fabrik satin itu dijual pada harga RM79 sehelai dan pembeli hanya perlu membayar RM100 jika membeli dua helai.

“Pada masa ini, lebih 90 peratus tudung edisi terhad merdeka sudah terjual dan kami tidak akan menambah jumlahnya walaupun terdapat permintaan. Ini bagi memastikan rekaan butik El Zahraa adalah eksklusif,” kata.

Antara ciri menarik terdapat dalam rekaan tudung itu ialah jalur merah putih, bulan dan bintang pada Jalur Gemilang yang ditampilkan secara abstrak dan kreatif pada tudung corak Malaysiaku Tanah Airku dan ciri bulan dan bintang pada rekaan tudung The Colours of Malaysia.

Rekaan tudung The Lights of KL City pula menampilkan bangunan ikon Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara KL.

Berikutan sambutan menggalakkan ke atas tudung edisi terhad merdeka, Emma Kasmima berkata, El Zahraa berhasrat memperkenalkan tudung edisi terhad Hari Malaysia yang akan tampil berbeza berbanding tudung edisi terhad merdeka.

"Tudung edisi terhad merdeka dan Hari Malaysia yang dikeluarkan oleh butik El Zahraa ini untuk rakyat Malaysia yang menghargai keamanan dan cintakan negara,” katanya. - Bernama