Tak guna cakap soal peralihan PM jika gagal tangani isu negara, rakyat

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Saranan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta semua pihak berhenti daripada bercakap soal peralihan jawatan Perdana Menteri harus diambil serius semua peringkat pimpinan dalam parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya berkata, saranan itu merupakan keperluan penting terutamanya dalam situasi negara yang perlu dipulihkan semula dari segi ekonomi dan pentadbiran ketika ini.

"Saranan beliau (Anwar) itu amat relevan dalam keadaan semasa yang mana pentadbiran negara perlu berjalan lancar tanpa adanya sebarang bentuk desakan yang keterlaluan khususnya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: Peralihan kuasa PM: Tun M, Anwar perlu bincang tarikh

"Tidak ada gunanya mana-mana pihak membuang masa bercakap mengenai peralihan jawatan Perdana Menteri buat masa ini.

"Adalah lebih baik bercakap soal bagaimana nak uruskan negara dan rakyat dengan baik dengan memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar semalam yang dilapor menggesa ahli partinya tidak mengeluarkan kenyataan menggesa Dr Mahathir melepaskan jawatan itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, konsensus pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai penyerahan kuasa Perdana Menteri kepadanya apabila tiba masanya nanti masih kekal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengharapkan pemimpin dalam PH supaya tidak sesekali membelakangkan rakyat dalam membuat sebarang kenyataan mahu pun tindakan berkaitan dengan isu kepimpinan negara.

"Ingat, yang meletakkan kepercayaan kepada PH menjadi kerajaan hari ini adalah rakyat. Begitu juga dengan jawatan Perdana Menteri yang mana Dr. Mahathir adalah pilihan rakyat.

"Jangan kerana ada sifat rakus kuasa, rakyat nanti akan bangkit dan gunakan kuasa mereka," tegas beliau.