Utusan berdepan penggantungan urusniaga

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat akhbar Kumpulan Utusan berdepan dengan penggantungan urusniaga dan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia selepas gagal keluar daripada Status Nota Amalan 17 (PN17).

Utusan dalam satu kenyataan kepada Bursa malam ini memaklumkan, syarikat itu gagal mendapatkan pelabur yang berpotensi untuk mengeluarkan Utusan daripada senarai tersebut.

“Utusan tidak dapat mengemukakan Pelan Regulatoriasinya seperti yang ditetapkan di bawah Perenggan 8.04 (3) dan Perenggan 5.1 di bawah PN17 dalam tempoh dua belas (12) bulan dari tarikh pengakuannya sebagai penerbit PN17.

“Selepas mengambil kira kerugian yang ditanggung dan kekangan aliran tunai, Lembaga berpendapat bahawa Utusan tidak akan dapat memenuhi keperluan Bursa untuk meningkatkan status PN17.

“Utusan juga tidak dapat mencari mana-mana pelabur yang berpotensi untuk memulihkan syarikat, terutamanya disebabkan oleh liabiliti yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Utusan berkata, pihaknya sedar bahawa Bursa Securities boleh mengambil sebarang tindakan relevan termasuk menggantung urusniaga sekuriti disenaraikan pada hari ke-6 pasaran selepas tarikh pemberitahuan penggantungan oleh Bursa Securities dan tidak menyenaraikan syarikat.

“Syarikat gagal mengemukakan pelan regulatariasi kepada pihak berkuasa pada atau sebelum 19 Ogos 2019. Syarikat juga tidak mendapat kebenaran daripada mana-mana pihak berkuasa yang perlu untuk melaksanakan pelan regulatariasinya.

“Syarikat turut gagal untuk melaksanakan pelan regulatariasinya dalam tempoh masa atau tempoh masa yang dilanjutkan yang ditetapkan oleh mana-mana pihak berkuasa pengawal selia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak berkata, hasil perbincangan dengan pengurusan tertinggi syarikat akhbar itu memaklumkan jika aset-aset milik Utusan tidak terjual dalam tempoh terdekat ini, tidak ada jalan lain selain menutup operasi Utusan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Utusan Melayu mungkin ditutup, tiada wang bayar gaji