'Hanya mereka yang pernah mengalami, dapat memahami…'

DATIN DIANA DANIELLE. Foto: INSTAGRAM
DATIN DIANA DANIELLE. Foto: INSTAGRAM
A
A
A

PELAKON Datin Diana Danielle membuat pengakuan yang mengejutkan ramai apabila mendedahkan dia mengalami masalah anxiety atau serangan kebimbangan atau keresahan melampau.

Menurut pelakon berusia 29 tahun ini menerusi beberapa posting di Instagramnya sejak Sabtu lalu, dia mula menyedari mengalami masalah tersebut dua minggu lalu selepas satu persatu simptom mula muncul.

"Ia bermula dengan tanda awal seperti tapak tangan berpeluh, sukar tidur, dada berdebar, kurang rehat dan hilang selera makan.

“Saya sangka mampu bertahan, namun tiga hari lalu, saya mula mengalami tanda asma apabila dada sesak dan sukar bernafas.

“Gangguan kebimbangan melampau sangat menyakitkan, malah memberi kesan terhadap kehidupan harian.

"Saya mungkin kelihatan ceria, tetapi hari ini saya menangis kerana bernafas tidak puas,” katanya.

Malah dalam video yang dimuatnaik, pelakon Hanyut ini memberitahu, doktor memaklumkan tahap oksigennya berada pada paras 100 peratus manakala kadar degupan jantung tinggi sedikit daripada normal, namun ia bukanlah punca kepada masalah kesihatan dihadapinya.

"Hanya mereka yang pernah mengalami, dapat memahami. Saya tidak peduli keadaan rambut, wajah atau cara berpakaian saya ketika ini

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah kebenaran yang mungkin ramai cuba nafikan atau mendengar ahli keluarga berkata, ‘bertenang kerana semua itu tidak benar’.

“Tapi diri anda memberitahu 'saya juga tidak tahu mengapa, apakah kerana kita lemah? Atau adakah saya hanya mengada-ngada?'

“Sebenarnya tidak, kerana minda, tubuh dan semua yang ada tidak lagi seperti diri kita yang dahulu. Anda mungkin berfikir akan jadi lebih sekiranya cukup tidur. Mungkin juga akan bertambah baik jika cukup makan.

“Tetapi, semua yang berlaku ini di luar jangkaan. Ia bermain dengan emosi dan menyebabkan saya penat,” luahnya.

Tambah isteri kepada Datuk Farid Kamil itu, dia sensiei tidak pernah terfikir untuk merakam keadaan dirinya sambil menangis dan berkongsi perkara berkenaan, tetapi dia memilih untuk berbuat demikian demi kesedaran orang ramai.

“Saya berharap dengan perkongsian ini dapat memberi beberapa cara diberikan oleh mereka yang baik hati," katanya lagi.

Sementara itu, dalam posting berasingan, Diana mengakui, dia tidak mengamalkan pemakanan yang sihat dan teratur.

Katanya, berat badannya telah turun sebanyak 10 kilogram dalam masa beberapa bulan dan kerap meminum kopi sebelum diserang masalah anxiety.

"Saya kerap minum kopi, sekitar lima hingga enam cawan sehari. Bila minum kopi, saya jadi kenyang dan membuatkan saya tidak makan mengikut waktu.

"Kadangkala minum kopi selepas jam 9 malam dan saya hanya akan tidur sekitar 3 atau 4 pagi. Cara hidup saya itu akhirnya membawa padah.

"Stress level dalam badan tidak berkurangan dan membuatkan kita tidak lagi boleh menampung semua yang kita nak buat setiap hari," katanya.

Ujar Diana lagi, bagi mengelakkan terus mengalami masalah sama, selain berzikir, membaca al-Quran dan mengambil air sembahyang, dia kini mula mengamalkan pengambilan makanan yang lebih sihat.

"Nutrisi yang baik dalam makanan akan menampung badan kita yang bekerja keras setiap hari. Bila badan tak cukup zat, ia akan menghantar signal bercelaru kepada otak dan membuatkan hormon tidak seimbang serta badan menjadi huru-hara.

"Jadi, elakkan masalah seperti anxiety melanda dengan mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat," akhirinya.