Kemelut rumah tangga Farid Kamil, Diana Danielle bakal selesai - Peguam

Farid Kamil (kiri) dan Diana Danielle (kanan).
Farid Kamil (kiri) dan Diana Danielle (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa dimaklumkan bahawa kemelut rumah tangga pasangan pelakon, Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle bakal menemui kata penyelesaian penuh dalam masa terdekat.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, sebagai defendan berkata, susulan perkembangan baharu ini pihaknya memohon agar keputusan inter-parte atau dua pihak bagi permohonan hadanah interim iaitu hak penjagaan sementara dua anak ditangguhkan ke tarikh lain.

"Perkara utama kes ini telah diteliti cuma isu-isu yang kecik perlu diperhalusi.

"Jadi keputusan interim yang sepatutnya diketahui hari ini ditangguhkan kerana dilaporkan akan ada penyelesaian penuh dan selepas itu, mahkamah akan rekod sebarang dapatan pada prosiding seterusnya," katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Diana Danielle atau nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku plaintif berkata, pihaknya turut memohon satu tarikh singkat diberi untuk keputusan inter-parte hadanah.

"Ini kerana terdapat terma-terma lain yang perlu diteliti, memandangkan ada penukaran cadangan penyelesaian termasuk balasan daripada kedua-dua pihak," katanya.

Selain Puteri Ummi Kartini, Diana Danielle turut diwakili peguam syarie utama, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Susulan itu, Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menetapkan 21 Ogos depan untuk dimaklumkan mengenai perkembangan baharu, serentak dengan keputusan inter-parte hadanah interim.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga melanjutkan perintah interim hadanah bagi dua anak pasangan itu kepada Diana Danielle.

Dalam prosiding ini, Farid tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih dirawat akibat jangkitan Covid-19.

Pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan Diana Danielle secara ex-parte melalui peguam syarienya, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff dan memperoleh perintah interim hadanah bagi dua anaknya itu.

Pada 10 Mac lalu, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil.

Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Bagaimanapun, Farid Kamil enggan melafazkan cerai tersebut.

Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.

Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.