Pemandu teksi jadi mata, telinga polis

Ab Rashid (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen Nota Kerjasama di antara Polis Kontinjen Selangor dengan PICKnGO antara Kumaran dengan Valerie.
Ab Rashid (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen Nota Kerjasama di antara Polis Kontinjen Selangor dengan PICKnGO antara Kumaran dengan Valerie.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemandu teksi kini turut membantu polis dalam membanteras jenayah menerusi kerjasama strategik melalui aplikasi PICKnGO sesuai dengan perubahan bentuk serta cabaran isu keselamatan dan jenayah di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, kerjasama berkenaan melibatkan penyaluran maklumat jenayah secara dua hala di antara polis dan pemandu teksi.

Menurutnya, melalui kerjasama itu, lebih 10,000 pemandu teksi di Semenanjung Malaysia menjadi ‘mata dan telinga’ polis dalam pencegahan jenayah.

"Menerusi aplikasi PICKnGO, polis akan menyalurkan maklumat seperti kenderaan hilang, orang hilang, kes samun kepada pemandu teksi untuk bersama-sama mengenal pasti penjenayah, orang yang dikehendaki, mangsa atau kenderaan yang hilang.

"Pemandu teksi yang melihat sebarang kejadian jenayah jalanan dan lain-lain jenayah yang berlaku di hadapan mata mereka akan melaporkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan segera melalui aplikasi PICKnGO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di antara Polis Kontinjen Selangor dengan PICKnGO di Mes Pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Ab Rashid berkata, kerjasama tersebut sebagai satu usaha kerjasama pintar tepat dan berkualiti bagi penyaluran maklumat oleh pemandu teksi, secara tidak langsung berupaya meningkatkan kadar penyelesaian kes.

"Kerjasama ini adalah salah satu elemen penting dan berkesan bagi kesedaran dan usaha pembanterasan jenayah bersama dan pemandu teksi yang sentiasa berada di lapangan berpeluang untuk memberi maklumat jenayah yang berlaku di hadapan mata mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan pemeteraian nota kerjasama itu, ia akan merancakkan kerjasama sedia ada di antara dua pihak di samping memberikan impak positif dalam usaha pembanterasan jenayah berterusan bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan masyarakat terjamin.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PICKnGO, Valerie berkata, PICKnGO merupakan perintis dalam pembangunan aplikasi tempatan teksi di Malaysia yang melaksanakan penggunaan butang kecemasan (SOS).

Nota Kerjasama ditandatangani Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner Datuk K Kumaran dengan Pengarah Eksekutif PICKnGO, Valerie disaksikan Ab Rashid dan Naib Presiden Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia, Ab Razak Ab Aziz.