Tiada lagi borang CP39, pembayaran tunai atau cek PCB: LHDN

LHDN
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini mengumumkan pihaknya tidak lagi menerima Borang CP39 (penyata potongan cukai bulanan) secara manual, cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD), pemacu pena dan cakera keras serta pembayaran secara tunai atau cek bagi Potongan Cukai Bulanan (PCB) daripada majikan, mulai 1 September 2019.

LHDN berkata langkah itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pembayaran dalam talian (e-pembayaran).

"Majikan hanya boleh menggunakan kaedah e-PCB, e-Data PCB atau e-CP39 yang disediakan melalui sub-menu ezHasil di portal rasmi LHDNM, www.hasil.gov.my untuk penyerahan penyata PCB atau data PCB pekerja bagi bulan Ogos 2019 dan bulan-bulan berikutnya," katanya dalam kenyataan.

Majikan dikehendaki membuat pembayaran PCB untuk pekerja mereka secara dalam talian melalui Pertukaran Proses Kewangan (FPX), perbankan Internet, Pemindahan GIRO Antara Bank (IBG), atau melalui kiosk cek di bank CIMB sahaja.

Majikan dinasihat untuk mematuhi peraturan baharu itu untuk memastikan penyerahan data peribadi pekerja dan bayaran PCB boleh dibuat dalam masa yang ditetapkan untuk mengelakkan kompaun kerana penghantaran lewat.

Untuk maklumat lanjut, layari www.hasil.gov.my atau hubungi LHDN di 1800-88-5436. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia