Dijel 6 bulan kerana lupus tabung masjid

Mohammad Al Imran dijatuhi hukuman enam bulan penjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Mohammad Al Imran dijatuhi hukuman enam bulan penjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berusia 23 tahun yang melupuskan sebuah tabung derma milik Masjid Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus dikenakan penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Mohammad Al Imran Ahmad dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas mengaku salah mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghapuskan harta iaitu sebuah tabung derma masjid milik Masjid Sungai Ikan, Tepoh, Kuala Nerus dengan mengetahui tabung itu adalah harta curi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua lagi yang masih bebas di Jalan Ladang Rakyat, Lembah Bidong, Kuala Nerus, kira-kira jam 2.05 pagi, pada 24 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pada 23 Julai lalu, kira-kira jam 11 malam, Pengerusi Masjid Sungai Ikan Jalan Kelantan, Tepoh, Kuala Nerus yang juga pengadu mengunci pintu masjid setelah selesai aktiviti masjid.

Keesokan harinya kira-kira jam 5.30 pagi, pengadu dimaklumkan bilal masjid mengenai kehilangan tabung masjid.

Artikel Berkaitan:

Pengadu membuat semakan rakaman kamera litar tertutup di dalam masjid sebelum mendapati tiga lelaki telah melarikan tabung derma tersebut dengan kereta.

Anggaran kerugian keseluruhan termasuk nilai tabung tersebut ialah lebih kurang RM500.