'Flashmob' bantah kehadiran Teresa tidak jejas PH: Rosol

Flashmob di Hulu Terengganu dikongsi menerusi Facebook Pemuda UMNO Hulu Terengganu.
A
A

KUALA NERUS - Penganjuran 'flashmob' membantah kehadiran Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Hulu Terengganu bukan gambaran bahawa rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) di Terengganu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana bantahan yang diadakan di daerah berkenaan dianjurkan pembangkang dan bukan mewakili seluruh rakyat Terengganu.

Menurutnya, perkembangan juga tidak memberi gambaran negatif kepada rakyat sehingga menjejaskan sokongan terhadap PH malah penyertaan ahli baharu menyertai Bersatu di Hulu Terengganu tidak terjejas.

"Sekarang ini, Alhamdulillah ahli (Bersatu) bertambah. Ada yang masuk secara terbuka dan ada yang masuk secara sulit. Jadi nampaknya sambutannya amat menggalakkan dan memberangsangkan.

"Kita yakin dalam pilihanraya akan datang tiada masalah untuk Bersatu. Saya (bagaimanapun) tiada data (tepat) tetapi kita sedang berkembang terutama di kalangan orang muda," katanya.

 Rosol Wahid
Rosol Wahid

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Sifar Murid Cicir Peringkat Negeri Terengganu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail di Batu Rakit, di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan pemuda dilaporkan mengadakan 'flashmob' di satu persimpangan lampu isyarat bagi membantah kehadiran menteri terbabit juga merupakan pemimpin DAP ke Hulu Terengganu.

Video secara langsung mengenai bantahan turut disertai Ketua Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera itu turut dikongsi menerusi Facebook rasmi Pemuda UMNO Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, tindakan mengadakan bantahan terhadap pemimpin DAP itu juga dilihat sebagai satu tindakan tidak wajar serta kurang bijak dalam senario politik di Terengganu.

"Tindakan tersebut tidak wajar kerana kehadiran menteri tersebut bukan atas dasar parti (DAP tetapi) atas dia pakai baju menteri dan memberi input yang berkaitan Kementerian kepada masyarakat.

"Kecuali dia mari (datang) untuk berkempen, atau untuk menambah ahli (DAP) mungkin ia satu benda yang tidak patut. Bagi saya (demonstrasi) satu tindakan kurang bijak dalam senario politik Terengganu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia