Kariah masjid dibelasah angkara daging korban

Kumaran bersama isteri dan anaknya menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Jumaat lalu.
A
A

BESTARI JAYA - Gara-gara berang tidak menerima daging korban, seorang kariah masjid dipukul tiga lelaki di pekarangan sebuah pasar raya di sini Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu berlaku ketika mangsa yang juga saudara baharu, Kumaran Ngapa, 41, bersama isteri, Subashini, 27, dan dua anak mereka masing-masing berusia 2 dan 5 tahun berkunjung ke pesta lampu berhadapan pasar raya berkenaan.

Kumaran berkata, dia didatangi seorang lelaki yang dikenali tiba-tiba menariknya ke pekarangan pasar raya terbabit.

"Sejurus itu saya nampak kelibat anak lelaki itu dengan seorang lagi lelaki tidak dikenali menuju ke arah saya.

"Ketiga-tiga mereka cuba mencederakan saya dengan seorang daripada mereka memukul kepala saya menggunakan topi keledar sementara lelaki tidak dikenali pula memasukkan sesuatu seperti besi dalam beg lalu melibas kepala saya hingga cedera," katanya.

Katanya, pergelutan antara dia dan suspek berlaku kira-kira lima minit sebelum dileraikan orang ramai dan pengawal keselamatan pasar raya berkenaan.

"Akibat kejadian itu, saya mengalami bengkak di bahagian kepala dan hidung dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang," katanya.

Kumaran memberitahu, punca kejadian itu disebabkan rasa tidak puas hati lelaki terbabit kerana tidak mendapat agihan daging korban semasa Hari Raya Aidiladha, 11 Ogos lalu.

"Lelaki ini marah kerana tidak menerima daging korban sedangkan dia bukan dari kariah masjid kami," katanya.

Menurut Kumaran, suspek turut mengugut mahu membunuhnya bersama isteri dan anak-anaknya pada masa akan datang.

Katanya, bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor sejam selepas kejadian.

"Saya bimbang nyawa kami sekeluarga terancam dan berharap kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya.