Penduduk Cameron Highlands rayu rumah mampu milik

Penduduk yang telah berada di hadapan Wisma Pahang seawal jam 9.45 pagi mengharapkan agar kerajaan negeri mampu menyediakan rumah mampu milik di Cameron Highlands.
A
A

KUANTAN - Kira-kira 40 penduduk golongan berpendapatan rendah (B40) di Cameron Highlands di sini, memohon kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik buat mereka.

Wakil penduduk, A Sivarajan berkata, pihaknya maklum walaupun terdapat tujuh projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilaksanakan di Cameron Highlands, namun harga rumah tersebut yang mencecah RM200,000 tidak mampu dibeli oleh penduduk.

Menurutnya, penduduk mengharapkan agar kerajaan negeri dapat menyediakan perumahan projek Rumah Makmur dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bertaraf sewa atau dimiliki.

"Kami mohon sangat supaya harga rumah boleh dijual pada harga RM80,000 ke bawah sebab penduduk di sini bukannya senang. Kebanyakan mereka hanya bekerja sebagai pemandu dan pekebun. Kalau mohon pinjaman di bank, penduduk tak lepas nak buat pinjaman.

"Penduduk tak mampu nak beli rumah PR1MA dan kami melihat kini rumah-rumah tersebut bukan dibeli oleh anak tempatan tetapi ramai orang luar. Penduduk asal sini kini tiada rumah untuk dibeli," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui hadapan Wisma Pahang di sini hari ini.

Penduduk yang telah berada di hadapan Wisma Pahang seawal jam 9.45 pagi mengharapkan agar kerajaan negeri mampu menyediakan rumah mampu milik di Cameron Highlands.
Penduduk yang telah berada di hadapan Wisma Pahang seawal jam 9.45 pagi mengharapkan agar kerajaan negeri mampu menyediakan rumah mampu milik di Cameron Highlands.

Penduduk yang hadir turut memegang sepanduk untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abd Rahim Muda.

A Sivarajan yang juga Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia berkata, pihaknya berharap dengan memorandum tersebut, isu ini akan dapat diselesaikan dan memberi satu berita gembira kepada penduduk.

Menurutnya, pertemuan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada tahun lepas telah diadakan dan maklum perlunya dibina rumah mampu milik namun perlu dapat kebenaran tanah daripada kerajaan negeri.

"Kami datang hari ini bukan untuk membantah tetapi untuk menuntut dengarlah rayuan kami yang mahu sangat rumah mampu milik dibina di Cameron Highlands.

"Isu ini kami dah bangkitkan sejak tahun 2017 kepada menteri besar terdahulu dan Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands namun tiada sebarang jawapan dan tindakan yang dilakukan.

"Kami juga dimaklumkan tiada projek Rumah Makmur dan PPR akan dilaksanakan di Cameron Highlands. Kami berharap pentadbiran baharu kerajaan negeri mampu menolong penduduk," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia