Daesh mengaku terlibat kes letupan di majlis perkahwinan

Majlis pernikahan yang berakhir tragedi akibat menjadi mangsa letupan bunuh diri. - Foto Reuters
A
A

KABUL - Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap insiden letupan bunuh diri pada majlis perkahwinan di Kabul, Afghanistan, pada Ahad.

Media antarabangsa melaporkan, kumpulan itu dalam satu kenyataan menerusi Telegram mendakwa pengebom bunuh diri berjaya menyusup masuk ke kaunter penyambut tetamu sebelum meledakkan bahan letupan di khalayak ramai.

Letupan pada kira-kira jam 10.40 malam waktu tempatan di Dewan Perkahwinan Shahr E-Dubai itu mengorbankan 63 mangsa.

Ia terjadi selepas Washington dan Taliban dalam peringkat akhir perjanjian yang akan menyaksikan pengurangan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan.

Insiden letupan bunuh diri di sebuah majlis pernikahan di Kabul semalam mengorbankan 63 orang. - Foto Reuters
Insiden letupan bunuh diri di sebuah majlis pernikahan di Kabul semalam mengorbankan 63 orang. - Foto Reuters

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Nusrat Rahimi berkata antara yang cedera dalam kejadian itu termasuk wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan, lebih 1,000 tetamu dijemput ke majlis itu.

Saksi berkata, letupan berlaku berhampiran pentas menyebabkan tetamu yang berada di situ termasuk pemain muzik maut.

ARTIKEL BERKAITAN: 63 maut, 182 cedera letupan majlis perkahwinan di Kabul


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia