Disangka mati, remaja tiba-tiba sedar dari dalam keranda

GUATEMALA CITY - Seorang remaja perempuan di Guatemala mengejutkan ahli keluarga dan penduduk setempat apabila tiba-tiba sedar ketika upacara penghormatan terakhir sedang berlangsung selepas disangka meninggal dunia beberapa jam sebelumnya.
Kejadian luar biasa itu berlaku di perkampungan El Jocote, Sacapulas, wilayah Quiché pada Sabtu membabitkan remaja dikenali sebagai Yuleidy Ixcotoyac.
Menurut laporan media tempatan, Yuleidy pada mulanya mengalami masalah kesihatan sebelum tidak sedarkan diri ketika bapanya, Abraham Ixcotoyac cuba membawanya ke hospital pada awal pagi.
Abraham berkata, ketika dalam perjalanan berhampiran San Pedro Jocopilas, beliau mendapati anak perempuannya tidak lagi menunjukkan tanda pernafasan atau denyutan nadi.
"Saya melihat dia sudah tidak bernafas dan tidak dapat merasakan denyutan nadi pada tangannya," katanya ketika ditemu bual stesen televisyen tempatan, TV Sac.
Menyangka anaknya sudah meninggal dunia, Abraham mendapatkan keranda daripada pengusaha perkhidmatan pengebumian sebelum membawa Yuleidy pulang ke rumah.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan anaknya tidak pernah tiba di hospital atau menerima pemeriksaan doktor bagi mengesahkan kematian.
Ahli keluarga, jiran dan anggota komuniti keagamaan kemudian berkumpul di kediaman mereka untuk mengadakan upacara penghormatan terakhir.
Ketika persiapan sedang dilakukan, ibu remaja berkenaan, Lesvia Ríos yang menghampiri keranda menyedari anaknya mula menunjukkan pergerakan.
"Saya sentiasa mengatakan dia masih hidup, bukannya sudah meninggal dunia.
"Dia mula bergerak, kemudian sedar dan terus bangun," katanya.
Suasana yang pada mulanya diselubungi kesedihan bertukar kecoh apabila tetamu menyedari Yuleidy masih hidup.
Abraham yang ketika itu berada di halaman rumah bergegas masuk selepas terdengar jeritan orang ramai.
"Apabila saya datang melihat, mereka sedang membantu mengeluarkan anak saya dari keranda," katanya.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa individu mengerumuni keranda sebelum membantu remaja berkenaan bangun dan keluar.
Mereka turut memberikan air minuman kepadanya ketika ahli keluarga masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Yuleidy yang kemudian ditemu bual TV Sac berkata, dia mengalami kesakitan teruk di bahagian dada sebelum tidak sedarkan diri.
"Dada saya mula terasa sangat sakit dan berat, kemudian saya seperti pengsan," katanya.
Remaja itu turut meluahkan rasa syukur kerana terselamat dan menganggap kejadian tersebut sebagai satu keajaiban.
"Saya tidak tahu bagaimana mahu membalas segala yang Tuhan lakukan dalam hidup saya. Ini satu keajaiban," ujarnya.
Bagaimanapun, setakat laporan diterbitkan, pihak berkuasa kesihatan Guatemala belum mengeluarkan penjelasan rasmi mengenai punca kejadian tersebut.
Tiada laporan pemeriksaan perubatan yang didedahkan kepada umum bagi menentukan keadaan sebenar Yuleidy ketika tidak sedarkan diri atau mengapa keluarganya menyangka dia sudah meninggal dunia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

