63 maut, 182 cedera letupan majlis perkahwinan di Kabul

Pekerja kecemasan Afghanistan membawa mangsa cedera ke dalam hospital. - Foto EPA
Pekerja kecemasan Afghanistan membawa mangsa cedera ke dalam hospital. - Foto EPA
A
A
A

KABUL - Sekurang-sekurangnya 63 orang maut manakala 182 yang lain cedera dalam letupan yang menyasarkan sebuah majlis perkahwinan di Kabul, kata pihak berkuasa hari ini.

Letupan yang berlaku di sebuah dewan perkahwinan di barat Kabul pada jam 10.40 malam (waktu tempatan) tadi terjadi ketika Washington dan Taliban dalam peringkat akhir perjanjian yang akan menyaksikan pengurangan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan.

Bagaimanapun, Taliban menafikan pembabitan mereka dalam insiden letupan terbabit.

"Antara yang cedera termasuk wanita dan kanak-kanak," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi sambil mengesahkan jumlah mangsa.

Mohammad Farhag, salah seorang tetamu yang berada di majlis berkenaan berkata, dia berada di bahagian wanita apabila satu letupan kuat kedengaran di bahagian yang menempatkan tetamu lelaki.

"Semua orang berlari keluar sambil menjerit dan menangis.

"Untuk kira-kira 20 minit dewan dipenuhi asap. Hampir semua tetamu di bahagian lelaki sama ada maut atau cedera. Dua jam selepas letupan, mayat masih dikeluarkan dari dewan," katanya.

Pemberontak adakalanya menyasarkan majlis perkahwinan di Afghanistan berikutan kurangnya langkah keselamatan ketat. - AFP

Artikel Berkaitan: