Indonesia bebaskan bot nelayan tempatan

Sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan kapal Pengawas Perikanan Indonesia.
A
A

LUMUT - Sebuah bot nelayan tempatan bernilai lebih RM1 juta dibebas dan dipulangkan oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia selepas ditahan pihak berkuasa negara itu di kedudukan 26.4 batu nautika berhampiran Pulau Jarak, pagi tadi.

Bot yang membawa seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand dan Kemboja berusia lingkungan 29 hingga 68 tahun itu ditahan sekitar jam 7 pagi selepas didapati berada di kawasan perairan bertindih iaitu di 0.5 batu nautika dari Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan dibenarkan pulang hasil rundingan antara pihaknya bersama pihak berkuasa negara itu yang dilakukan di atas kapal.

"Kita menerima aduan dari Sistem Pengawasan Maritim Laut (Swasla) mengenai sebuah kapal pengawas perikanan Indonesia yang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan.

Rundingan dua pihak yang dilakukan di atas kapal berjaya membebaskan bot nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.
Rundingan dua pihak yang dilakukan di atas kapal berjaya membebaskan bot nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.

"Bertindak dari aduan diterima, sebuah bot peronda diketuai Leftenan Madya Maritim Mohd Shahrizan Mohd Hashim terus ke lokasi untuk pengesahan dan mengadakan rundingan," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, rundingan itu berjaya membuahkan hasil apabila bot terbabit dilepaskan kira-kira jam 12.15 tengah hari dan dibawa pulang ke jeti Maritim Perak.

"Ini membuktikan kerjasama daripada dua negara yang terlibat dalam Operasi Patkor Optima membuahkan hasil," katanya.

Jelasnya, Operasi Patkor Optima yang merupakan operasi bersepadu dua hala antara Malaysia dan Indonesia telah bermula sejak 14 Ogos lalu dan bakal berakhir pada 29 Ogos ini.

"Kita berharap dengan adanya operasi seperti ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dua negara dan saling bekerjasama dalam membanteras sebarang jenayah yang berlaku khususnya di laut," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia