Kenaikan elaun latihan amali tak jejas pengambilan: Mahfuz

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Kenaikan kadar elaun pelatih dari RM300 kepada RM900 tidak akan menjejaskan jumlah pengambilan pelajar untuk menjalani latihan amali di kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan elaun tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap generasi muda yang baharu hendak memasuki dunia pekerjaan yang sebenar.

“Mereka (pelajar) ini perlu diberi peluang untuk membina pengalaman baharu selepas tamat pengajian dan kerajaan prihatin dengan keperluan hidup mereka. Sebab itu elaun dinaikkan, kalau kekal RM300, apa yang mereka boleh belanja terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

“Sekurang-kurangnya RM900 ini boleh tampung keperluan mereka dan saya tidak fikir kenaikkan ini akan menjejaskan apa-apa terutamanya dalam sektor kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada jumlah pengambilan pelajar akan berkurangan akibat kenaikan elaun tersebut yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Khamis lalu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi laman Twitternya memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan elaun pelatih yang menjalani latihan amali di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan daripada RM1.60 sejam ke RM5 sejam berkuatkuasa 1 September.

Sementara itu, Mahfuz juga berharap syarikat-syarikat swasta dapat berkongsi pendapatan dan keuntungan yang diperolehi dengan memberi peluang kepada para pelajar universiti untuk menjalankan latihan amali di syarikat mereka.

“Buat masa ini perlaksanaan kenaikkan elaun ini hanya di peringkat kerajaan, jadi pembayaran elaun di syarikat swasta adalah terpulang kepada mereka. Tapi kita harap pihak swasta juga dapat beri peluang kepada pelajar-pelajar ini.

Artikel Berkaitan:

“Pelajar juga jangan memilih. Siapa tahu bila mereka tunjuk kemahiran dan kepakaran masa latihan amali, pihak syarikat minat untuk serap bekerja dan akan diberi kedudukan dan gaji yang sesuai selepas itu dan apa yang penting masuk dahulu dalam pasaran kerja,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyampaikan sumbangan untuk membaiki rumah kepada 45 penerima di sini yang terjejas akibat ribut pada 9 Ogos lalu.- Bernama