Lawatan Agong ke Brunei perkukuh hubungan diraja

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Ismail Salam pada sidang media hari ini sempena lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selama tiga hari bermula esok. Foto: Bernama
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Lawatan negara tiga hari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Brunei bermula esok, bakal mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-negara yang terjalin sejak 35 tahun lepas.

Brunei merupakan negara sulung yang dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam ketika ditemui wartawan Malaysia berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi Malaysia untuk mengadakan lawatan ke negara Islam dan negara Melayu beraja.

"Ini merupakan tradisi yang kita ikuti selama ini. Lawatan ini juga merupakan tradisi untuk terus mengukuhkan jalinan antara hubungan diraja antara kedua negara.

"Ia lebih kepada hubungan secara am yang ingin dirapatkan terutamanya kerjasama yang sedia terjalin yang akan terus dipertingkatkan untuk masa hadapan," katanya dalam sidang media di Pejabat Kedutaan Malaysia ke Brunei di sini, hari ini.

Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat ke 'negara zikir' itu esok (Ahad).

Ismail berkata banyak perkara yang boleh dicapai menerusi hubungan baik itu antaranya meningkatkan ekonomi pelancongan serta pendidikan Malaysia dan Brunei.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini, lawatan itu juga sebagai mengenang kembali lawatan bersejarah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama mengadakan Lawatan Negara ke Brunei sebaik sahaja negara itu mencapai kemerdekaan pada 1984.

Hubungan akrab antara ketua utama kedua-dua negara itu juga terserlah, apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha merupakan antara tetamu Diraja dari negara luar yang berangkat menghadiri istiadat pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang berlangsung di Istana Negara hujung bulan lepas.

Berdasar pemerhatian Bernama, kemesraan Brunei mengalu-alukan ketibaan pasangan diraja dari Malaysia itu juga begitu dirasai apabila Jalur Gemilang turut berkibar megah, bersama-sama bendera rasmi negara itu di persisiran jalan sekitar Bandar Seri Begawan.

Sempena kunjungan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong antara lain dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan itu turut berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B) iaitu bintang kebesaran tertinggi negara itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Raja Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong pula akan menganugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Selain itu, Sultan Abdullah dan isteri turut dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di negara itu dan melawat beberapa tempat bersejarah dan Jabatan Kerajaan di Bandar Seri Begawan.

Brunei merupakan rakan dagangan penting Malaysia dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas adalah sebanyak USD981.2 juta (RM3.9 bilion) dan Brunei merupakan negara ketujuh terbesar daripada rakan dagangan di rantau Asia Tenggara. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia