'Kita tak akan lari ke India sembunyi belakang PM Modi'

Kenyataan balas Satees di laman Facebook miliknya.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy menegaskan beliau tidak akan lari ke mana-mana dan bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang selepas pendakwah dari India, Dr Zakir Naik membuat laporan polis terhadapnya atas tuduhan fitnah.

“Baiklah, sekarang kita tidak akan lari ke India dan bersembunyi di belakang Modi (Perdana Menteri India, Narenda Modi untuk dapatkan perlindungan).

ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik lapor polis terhadap lima individu termasuk Kula Segaran

“Ini (Malaysia) adalah tanah air kita dan kita akan berdepan dengan undang-undang dari sini.

“Tidak seperti orang yang membuat laporan (Zakir),” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Terdahulu, selain Satees, Zakir turut menamakan empat lagi individu yang didakwa memfitnah beliau menerusi satu laporan polis yang dibuatnya semalam.

Mereka ialah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan bekas duta Malaysia ke Kanada, datuk Dennis J Ignatius.

Zakir atau nama sebenarnya Zakir Abdul Karim Naik membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini kira-kira jam 10.50 pagi.

Berdasarkan laporan polis tersebut, pendakwah itu mendakwa kelima-lima individu yang dinamakan telah memfitnah berdasarkan kenyataan disiarkan di media sosial dan laman sesawang mereka berhubung syarahannya di Kota Bharu Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Dalam laporan itu, Zakir turut menyenaraikan 11 pautan artikel yang didakwa kenyataan fitnah dibuat oleh lima individu dinamakan itu.

Zakir berkata, kenyataan media dan artikel berkenaan telah memesong dan mengelirukan orang ramai berhubung maksud sebenar ceramahnya semasa berdakwah mengenai keamanan serta keharmonian antara rakyat di negara ini.

"Kelima-lima mereka telah memetik kenyataan di luar konteks dalam jawapan terhadap salah satu soalan diajukan selepas ucapan saya mengenai topik 'Salah fahaman tentang Islam' dan jelas sekali mereka memutar belit dan memanipulasi kenyataan saya untuk agenda politik mereka.

"Semasa ceramah itu, syarahan sebenarnya adalah memuji Malaysia yang mengamalkan cara Islam sebenarnya dalam layanan terhadap minoriti penganut Hindu dan menegakkan hak-hak kepada mereka, yang mana ini adalah sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India dalam menangani masyarakat minoriti negara itu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia