'Pian Tiger' meninggal dunia

Berita menyedihkan itu turut diumumkan menerusi Facebook HarimauMalaya. (Gambar kecil, Allahyarham Mohd Suffian Abdul Rahman)
A
A

PENJAGA gol Terengganu Football Club (TFC) Mohd Suffian Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama panggilan 'Pian Tiger' meninggal dunia kira kira jam 1.40 petang tadi.

Berita menyedihkan itu turut diumumkan menerusi Facebook HarimauMalaya kira kira sejam lalu sebelum mendapat perkongsian lebih 600 kali peminat sukan bola sepak khususnya di negeri ini.

Sebelum ini, pemain berusia 41 tahun itu dikatakan terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sejak awal bulan ini kerana dikatakan menghadapi masalah jantung.

Kehilangan lebih dirasai apabila sepak mula perlawanan antara Terengganu (TFC) dan Negeri Sembilan dalam saingan kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah akan berlangsung malam ini.

Pada musim lalu, bekas penjaga gol kebangsaan itu adalah antara watak penting dalam kejayaan pasukan berkenaan untuk muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.

Pemain paling senior dalam Liga Malaysia (Liga M) itu menyarung jersi TFC bermula sejak pertengahan 2017 dan turut beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Allahyarham sebelum ini menetap di Taman Perumahan Bukit Tunggal, Kuala Nerus dan jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Pauh pada petang ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia