Pekerja swasta maut kereta bertembung kenderaan lain

Keadaan kedua-dua kenderaan selepas kemalangan berkenaan.
Keadaan kedua-dua kenderaan selepas kemalangan berkenaan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pekerja swasta maut selepas kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi kereta lain dalam satu kejadian di Kilometer 55.0 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Aidil Adha Durahim, 24, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dinaiki mangsa telah hilang kawalan.

“Mangsa dipercayai memandu kereta dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit yang kemudian hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Insiden tersebut mengakibatkan kereta dinaiki mangsa gagal untuk mengelak dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Azaham berkata, terdapat seorang pemandu dan seorang penumpang dalam kereta Toyota Vios yang bertembung dengan kereta mangsa.

“Kedua-dua mangsa yang turut parah telah dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati laluan berkenaan adalah jalan dua hala dan kejadian berlaku ketika waktu pagi dengan keadaan jalan yang kering.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.