'Pemimpin politik perlu jaga perasaan semua kaum'

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda MCA Johor menggesa semua pihak khususnya pemimpin parti politik bersikap sederhana dengan mempertimbangkan perasaan setiap kaum sebelum mengutarakan sesuatu pandangan.

Ketuanya, Ling Tian Soon berkata, gesaan dan seruan itu kerana mutakhir ini, negara digemparkan dengan beberapa kenyataan dan polemik berkenaan isu perkauman yang diutarakan oleh sesetengah parti.

"Tindakan seumpama ini telah menggali jurang serta mendirikan tembok keegoan di samping menjejaskan semangat muhibah antara kaum.

"Keadaan ini bertambah teruk setelah campur tangan dan kenyataan sensitif daripada sesetengah pemimpin politik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tian Soon berkata, bukan mudah untuk menyatukan rakyat dan turut membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah asing.

"Kita harus mengambil iktibar daripada kisah silam. Mencontohi kebijaksanaan nenek moyang untuk terus menerajui tanah tumpah darah kita ke arah kegemilangan dan keharmonian.

"Kita dilahirkan, hidup, membesar di tanah air yang pelbagai etnik dan agama. Kita sepatutnya saling toleransi dan menghormati pantang larang serta limitasi antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, walaupun berbeza, rakyat di negara ini hidup secara harmoni di bawah satu negara.

Artikel Berkaitan:

"Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Saya yakin bahawa setiap anak watan sudi korbankan jiwa dan raga untuk mempertahankan maruah dalam apa jua kemelut yang dihadapi," katanya.

Selain itu, Tian Soon berkata, beliau sangat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggesa setiap rakyat untuk meneruskan usaha mengekalkan ukhuwah walaupun terdapat segelintir kelompok cuba memecahbelahkan kesejahteraan dicapai selama ini.

"Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang bersifat lebih sederhana, rasional dan toleransi terhadap setiap isu yang melibatkan rakyat supaya dapat menerajui negara kita ke arah anjakan paradigma terbilang," katanya.