Tiada kelulusan jalankan perlombongan bauksit di Kota Tinggi

Chen Choon
Chen Choon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sekali lagi menegaskan tiada sebarang kelulusan yang diberikan kepada mana-mana firma swasta untuk menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara mega di Kota Tinggi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, perkara itu dinyatakan berdasarkan semakan yang telah dirujuk kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Saya dengan ini mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti perlombongan bauksit yang beroperasi secara mega di Kota Tinggi sebagaimana yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

“Malah, hasil semakan juga tidak menemukan sebarang maklumat mahupun sebarang laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebagaimana yang didakwa diperoleh oleh firma seperti laporan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Chen Choon berkata, pentadbiran kerajaan tempatan juga sedia maklum dengan sebarang aktiviti melibatkan perlombongan bahan berkenaan.

“Hasil rujukan kepada Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) juga mendapati tiada permohonan telah dikemukakan oleh sebarang firma swasta bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan berkenaan.

“Kerajaan negeri memandang serius laporan akhbar ini memandangkan perkara yang dinyatakan merangkumi faktor alam sekitar secara menyeluruh dalam jangka masa panjang,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Johor juga akan sentiasa mengikuti rapat perkembangan dan pemantauan berkaitan dakwaan ini menerusi jabatan dan agensi yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan sebuah syarikat tempatan, The One Minerals Mining Sdn Bhd (TOMM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama firma pelaburan swasta, Via East West Capital (VEWC) bagi mendapatkan pembiayaan berperingkat bernilai RM1.47 bilion.

Difahamkan, MoU itu bertujuan untuk mendapatkan pembiayaan bagi pelaksanaan projek perlombongan bauksit seluas 2,832 hektar di Kota Tinggi.