227 dikenal pasti ingkar arahan larangan merokok

Gambar kecil, Khalid
Gambar kecil, Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 227 individu di negeri ini dikenal pasti masih mengingkari arahan larangan merokok di premis makanan sejak undang-undang tersebut diwartakan pada awal tahun ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 4,311 notis peringatan kepada perokok dan pemilik premis yang melanggar peraturan tersebut.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada sebarang kompaun dikeluarkan oleh pihaknya selaras dengan lanjutan fasa penguatkuasaan secara pendidikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember ini.

"Fasa penguatkuasaan secara pendidikan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2019 dan mula dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Larangan merokok, bagaimana aduan boleh dibuat?

"Fokus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat masa ini adalah memastikan tiada individu yang merokok dalam premis makanan dan semua pengusaha memasang tanda larangan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bermula awal Januari tahun ini, kerajaan telah memutuskan untuk mewartakan premis makanan terbuka dan restoran sebagai kawasan larangan merokok.

Bagi tempoh permulaan pelaksanaan ini, difahamkan tiada sebarang kompaun atau denda dikenakan sehingga 31 Disember ini dan penguatkuasaan undang-undang akan mula dilaksanakan bermula 1 Januari tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khalid berkata, menerusi operasi pemantauan yang dilaksanakan, pihaknya turut mengenal pasti sebanyak 4,065 premis yang masih belum memasang tanda larangan merokok.

"Sehingga kini kita telah memeriksa sebanyak 22,551 premis makanan sejak larangan tersebut dikuatkuasakan awal tahun ini.

"KKM turut mendapat respons dan kerjasama yang baik daripada pengusaha premis makanan malah mereka juga sering mengambil langkah untuk menegur mana-mana perokok yang melanggar arahan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya turut mempergiatkan usaha bagi melaksanakan pemantauan secara berkala di premis-premis makanan sekitar negeri ini sehingga tempoh fasa pendidikan tamat.

Tambahnya, KKM juga menyeru semua perokok dan pemilik premis makanan supaya mematuhi kehendak peraturan baharu ini memandangkan pelanggan lain juga berhak mendapat persekitaran yang selesa semasa menikmati makanan.