TPM dijadual bertemu keluarga Nora Anne pagi ini

Wan Azizah - Foto: ROSLI TALIB
Wan Azizah - Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan keluarga remaja Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemukan mati pada Selasa lepas, jam 10.30 pagi ini.

Pertemuan itu dirancang diadakan di resort The Dusun, Pantai, resort penginapan keluarga berkenaan yang juga tempat Nora Anne dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian selama dua minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat Nora Anne belum dituntut keluarga

Sebelum itu, Dr Wan Azizah dijadual mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop di Balai Polis Pantai mengenai kes yang menimpa remaja anak istimewa itu.

Semalam, Mohamad dalam sidang media mengesahkan Nora Anne meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.

Mohamad berkata hasil bedah siasat mendapati remaja malang itu mungkin telah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda-tanda perbuatan jenayah selain remaja itu tidak dirogol.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat gadis itu dilaporkan hilang.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban pagi ini, mayat Nora Anne masih belum dituntut oleh anggota keluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan: