Jangan perbaharui lesen Lynas: Peka

Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menyeru kerajaan supaya menyelesaikan isu alam sekitar dengan tidak memperbaharui lesen Lynas Corporation Ltd. (Lynas) selepas tamat tempoh enam bulan ini.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan perlu memberhentikan segala aktiviti yang dijalankan sebelum bencana alam sekitar melanda.

Menurutnya, sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku akibat dari projek Lynas, sudah pasti ianya satu malapetaka yang lebih serius daripada bencana lain seperti pencemaran Sungai Kim Kim baru ini.

"Kesan negatifnya akan lebih ketara dan mungkin tidak boleh diselesaikan walaupun dalam jangka masa panjang. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memastikan bahawa perkara ini tidak berlaku kepada negara kita.

"Desakan kerajaan bahawa Lynas mesti memindahkan proses 'cracking and leaching' yang sedang dijalankan di kilangnya di Gebeng, Kuantan ke luar negara menunjukkan betapa teruknya kesan dari aktiviti di kilang

Lynas ini terhadap alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariffa Sabrina berkata, demikian mengulas tindakan kerajaan persekutuan untuk menghadkan lesen Lynas kepada tempoh enam bulan dan mengenakan syarat-syarat ke atasnya adalah satu langkah permulaan untuk menangani masalah alam sekitar yang lebih serius.

Katanya lagi, pihaknya memandang perkembangan ini sebagai bukti bahawa perjuangan kumpulan alam sekitar dan penentang yang lain terhadap Lynas sememangnya wajar.

Artikel Berkaitan:

"Lynas telah menggadaikan alam sekitar Malaysia dan harus menghentikan keseluruhan operasinya. Walaupun penyelesaian untuk masalah jangka panjang ini akan mengambil masa, persoalan dan keraguan tentang Lynas masih tak terjawab," katanya.

Beliau turut mempersoalkan apa yang akan berlaku selepas tempoh enam bulan?

Soalnya lagi, bagaimanakah Lynas akan dipantau untuk memastikan bahawa semua syarat dipatuhi dan apakah penalti yang akan dikenakan sekiranya Lynas gagal mematuhi syarat dalam jangka masa yang ditetapkan?

"Hakikatnya, Lynas tetap dengan pendiriannya bahawa operasinya adalah selamat dan tidak membahayakan alam sekitar," katanya.