Lagak gengster makan diri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Aksi lagak gengster ditunjukkan seorang lelaki akhirnya mengundang padah apabila dicekup polis ketika sedang membelasah seorang lagi lelaki dalam satu kejadian di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah restoran di Jalan Sutera di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian kerana berang cermin sisi kereta miliknya dilanggar oleh kereta dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek juga dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan kayu secara berkumpulan dengan tujuh lelaki lain.

"Sebelum kejadian, mangsa berusia 44 tahun dipercayai sedang memandu sebuah kereta yang turut dinaiki bersama isteri dan seorang anak lelakinya.

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka telah melanggar cermin sisi kereta milik suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya datang ke arah mangsa dalam keadaan marah bersama-sama tujuh lagi lelaki lain.

"Suspek juga bertindak mengetuk kereta mangsa dengan menggunakan kayu untuk menyuruhnya keluar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, sejurus mangsa keluar dari kenderaannya, suspek dan rakan-rakannya terus bertindak memukul lelaki sehingga dileraikan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan yang ketika itu sedang melakukan rondaan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga diberkas serta-merta manakala rakan-rakannya yang lain berjaya melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap suspek bagaimanapun mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.