Mangsa ribut akan terima wang ihsan antara RM200-RM500: Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail- Foto BERNAMA
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail- Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Mangsa kejadian ribut yang melanda tujuh negeri, Jumaat lalu, aan menerima bantuan wng ihsan antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan kediaman masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata Kabinet bersetuju memberi bantuan kepada mangsa melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) melibatkan peruntukan keseluruhan RM17.025 juta.

Peruntukan tersebut akan turut digunakan bagi membiayai perolehan sama ada barangan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan membaik pulih kediaman yang rosak, katanya.

"Kerajaan persekutuan bersama-sama kerajaan negeri sedaya upaya akan membantu bagi meringankan beban mangsa yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, sehingga semalam, 3,601 buah kediaman dilaporkan telah rosak selain premis-premis lain seperti sekolah, hospital, masjid dan surau.

Dr Wan Azizah berkata di peringkat negeri, sebahagian kerja baik pulih kecil telah disiapkan manakala sebahagian lagi di peringkat verifikasi dan anggaran kos baik pulih.

"Kerajaan berharap semua mangsa terlibat tabah dalam menghadapi bencana ini dan kerajaan, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, komited untuk membantu mangsa-mangsa terlibat sebaik mungkin," katanya.

Pada 9 Ogos lepas, dilaporkan tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu dilanda ribut kesan daripada Taufan Lekima yang melanda timur China. -Bernama

Artikel Berkaitan: