Bekas Presiden Colombia dituduh rancang bunuh Maduro

Pengawal peribadi melindungi Maduro semasa serangan dron di Caracas tahun lalu.
Pengawal peribadi melindungi Maduro semasa serangan dron di Caracas tahun lalu.
A
A
A

CARACAS - Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menuduh bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe telah mengupah tentera upahan untuk membunuhnya.

Pada Ogos tahun lalu, Maduro terselamat daripada percubaan bunuh semasa perarakan tentera di Caracas.

Dalam kejadian itu, dua buah dron yang dipasang dengan bahan peledak C4 meletup di udara menyebabkan tujuh anggota tentera cedera.

Pada masa itu, Kementerian Luar Venezuela turut menuding jari ke arah bekas Peguam Negara, Luisa Ortega Diaz dan bekas Presiden Colombia, Juan Manuel Santos serta seorang pemimpin pembangkang, Julia Borges sebagai antara pihak yang merancang pembunuhan Maduro.

"Saya telah dimaklumkan mengenai rancangan yang diselaraskan oleh Alvaro Uribe dengan Duta Colombia ke AS (Amerika Syarikat), Francisco Santos untuk menghantar 32 tentera upahan ke Venezuela untuk membunuh saya," kata Maduro semalam.

Maduro sebelum ini berulang kali mendakwa AS mengarahkan Colombia untuk mengatur pembunuhannya, tuduhan yang dinafikan Bogota dan Washington.

Minggu lalu, Maduro mendakwa beliau mempunyai bukti Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton adalah dalang utama plot cubaan bunuh pemimpin itu.

Pada Disember lalu, Maduro menuduh Bolton merancang rampasan kuasa di Venezuela sekali gus membunuhnya.

Artikel Berkaitan:

Venezuela mengalami krisis politik yang semakin memuncak sejak Januari lalu apabila pemimpin pembangkang yang disokong AS, Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden baharu negara Amerika Selatan itu.

Rusia, Turki dan China pula menganggap kerajaan Venezuela ditubuhkan secara sah dan menyifatkan campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara itu sebagai pencabulan serius ke atas undang-undang antarabangsa. - Agensi