'Ke mana kami hendak pergi?'

Mansor (depan) bersama nelayan di Pengkalan Penghulu mendesak campur tangan kerajaan negeri selesaikan tuntutan nelayan yang terjejas akibat projek tambakan di Tanjung Piai.
Mansor (depan) bersama nelayan di Pengkalan Penghulu mendesak campur tangan kerajaan negeri selesaikan tuntutan nelayan yang terjejas akibat projek tambakan di Tanjung Piai.
A
A
A

PONTIAN - "Kalau tempat nelayan cari rezeki di laut ditambak, mana kami hendak pergi?" demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Pampasan bagi isu tambakan pasir pulau buatan di Tanjung Piai, Mansor Maidin.

Mansor mendakwa, bilangan nelayan ke laut semakin berkurangan, malah ada yang langsung tidak ke laut disebabkan tambakan dan keadaan perairan dekat Tanjung Piai yang semakin sibuk dengan kapal serta jentera penambakan.

Menurutnya, isu tambakan yang didakwa akan dibangunkan sebagai pulau simpanan minyak mempunyai asas berikutan terdapat laporan akhbar tempatan kelmarin yang melaporkan Johor membangunkan pulau simpanan minyak di Tanjung Bin Pontian bernilai RM2 bilion.

Bagaimanapun, pihaknya kesal apabila mendakwa perjanjian dibuat Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan dengan pemaju tambakan laut pada 2015 dilihat berat sebelah.

"Nelayan tidak boleh membuat sebarang tuntutan. Kami kesal kerana tambakan dalam hanya untuk 15 ekar (6.07 hektar) tetapi kini kawasan tambakan semakin luas, mungkin sudah mencecah ratusan ekar.

"Justeru itu, nelayan yang terjejas menubuhkan jawatankuasa bagi menuntut pampasan sebanyak RM15 juta," katanya ketika ditemui pada sesi dialog nelayan di Pengkalan Penghulu, di sini hari ini.

Mansor turut berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam hal tersebut memandangkan ia melibatkan melibatkan masa depan kira-kira 429 nelayan dari enam pangkalan.

Enam pangkalan terbabit ialah Tanjung Piai, Kukup, Pengkalan Penghulu, Sungai Dian, Perpat dan Sungai Chokoh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, setiausaha jawatankuasa, Mohd Tahir Abd Hamid menjelaskan pada 2015, nelayan di sini ada menerima pampasan dari pemaju sebanyak RM1.2 juta.

Menurutnya, setiap nelayan menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000.

"Itu ada pampasan pernah kami terima daripada pemaju penambakan bagi pulau buatan. Lepas itu tiada lagi," katanya.

Beliau berharap, nasib nelayan di Tanjung Piai tidak diketepikan dalam usaha pihak berkenaan mengejar pembangunan khususnya bagi pembinaan pulau buatan dan simpanan minyak di sini.