Keluarga wanita hilang ketika berkayak buat pengecaman

Sebahagian daripada ahli keluarga dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lepas berada di Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC), Jeti Penyabong, Mersing, untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang. - Foto Bernama
Sebahagian daripada ahli keluarga dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lepas berada di Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC), Jeti Penyabong, Mersing, untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang. - Foto Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Ahli keluarga wanita warga Singapura yang dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, di sini Khamis lalu, tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman malam tadi.

Mereka berada di sana bagi membuat pengecaman mayat wanita yang ditemui kira-kira 12.50 tengah hari semalam di kedudukan 5 batu nautika timur Kuala Kemaman oleh nelayan tempatan.

Kira-kira 15 ahli keluarga Puah Geok Tin, 57, yang menaiki empat buah kereta bernombor pendaftaran Singapura, tiba di hospital itu pada jam 11.45 malam diiringi sebuah kereta polis dan sebuah kereta Kedutaan Singapura cawangan Johor.

Tinjauan mendapati ahli keluarga itu kelihatan sugul dan berpelukan sesama sendiri. Beberapa anggota keluarga dilihat meraung selepas keluar dari bilik mayat.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan merakam gambar atau video serta menemuramah keluarga itu dan difahamkan bedah siasat akan dilakukan esok.

Khamis lalu, Geok Tin dan seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, kedua-duanya warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Semalam, kayak dinaiki kedua-dua mereka ditemui pada 12.55 tengah hari di perairan Kuantan, Pahang sebelum mayat seorang wanita ditemui nelayan pada 12.50 tengah hari semalam di kedudukan 5 batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Tragedi berkayak: Mayat wanita warga Singapura ditemukan

Kawasan pencarian dua warga Singapura diperluaskan

SAR dua warga Singapura di Mersing masuk hari kelima