Cinta tak berbalas punca wanita warga emas dibunuh

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Cinta tidak berbalas dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas yang ditemui di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai Teluk Kemang di sini pada 9 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kematian wanita berusia 67 tahun itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kematian mangsa telah disahkan oleh pembantu perubatan Hospital Port Dickson di lokasi kejadian pada jam 1.30 tengah hari dan telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

"Kertas siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun pada 16 Mei lalu di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan siasatan mendapati motif pembunuhan mangsa disebabkan cinta tidak berbalas.

Tambahnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Timbalan Pendakwaraya Negeri Sembilan dan telah mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Port Dickson pada Rabu untuk pertuduhan," katanya.