Perihal tandas dan maruah kita

Gambar hiasan
A
A

UNTUK kesekian kali Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa kesal mengenai keadaan tandas awam di negara kita. Setiap kali masuk keadaannya berbau dan tidak bersih.

“Saya berasa amat malu. Ini mencerminkan sikap kita seolah-olah kita berasa tidak mengapa sekiranya tandas kita kotor,” beliau mengeluh.

Semua orang tahu ini bukan kali pertama beliau mengeluh dan menegur tandas awam kita. Agaknya sudah beratus kali beliau bercakap mengenai perkara menjijikkan ini.

Sejak mula menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun kemudian bersara daripada politik dan sekarang sekali lagi memegang jawatan penting itu, kepada Tun Mahathir tandas kita masih pada tahap lama.

Sampai hari ini salah satu perkara yang masih menjadi rungutan pemimpin berusia 94 tahun itu ialah tandas awam yang kotor. Beliau selalu kecewa apabila membandingkan tandas kita dengan tandas awam di negara-negara lain, termasuk negara bukan Islam terutama Jepun.

Sepanjang yang berkait dengan tandas awam, kita memang pengotor, malah mungkin antara yang paling pengotor dalam dunia. Lebih baik kita mengaku. Kalau tidak percaya masuklah ke mana-mana tandas awam, dan alami sendiri. ‘Aroma’ luar biasa terus menusuk rongga sebaik masuk ke tandas.

Ini pengalaman peribadi: Satu ketika saya masuk ke tandas awam untuk membuang air kecil. Bau busuk tanas itu hampir membantutkan hajat.Kemudian saya ternampak puntung rokok dan tisu bersepah dan menutup saluran air menyebabkan air bertakung. Yang paling meloyakan mangkuk tandas kotor dengan najis.

Percaya atau tidak itu adalah keadaan sebuah tandas awam di tengah-tengah Kuala Lumpur! Air kencing tidak jadi keluar. Lebih baik pancutkan di pangkal pokok tempat meletak kereta.

Maka tidak menghairankan sekiranya pelancong asing yang singgah di tempat kita selalu merungut apabila masuk ke tandas awam. Kalau masuk ke tempat makan awam, medan selera umpamanya, makan dahulu kemudian baru ke tandas. Sekiranya masuk ke tandas dahulu, anda pasti tidak jadi makan!

Hatta, kebanyakan tandas di masjid dan surau kita pun keadaannya tidak menepati apa yang selalu diuar-uarkan ‘kebersihan itu separuh daripada iman’. Tandas di tempat ibadat kita pun kotor!

Dalam perjalanan ke utara, selatan mahupun pantai timur, saya selalu singgah di beberapa masjid untuk solat atau berehat dan masuk ke tandas. Rata-rata tandas di situ tidak mementingkan kebersihan. Ada yang paip tidak berfungsi, singki tersumbat dan berlumut, puntung rokok dan tisu bersepah di lantai.

Lebih menyedihkan ada mangkuk tandas tersumbat, najis tidak dipam dan dibersihkan. Ada tandas tidak berpintu, ada pintu rosak tidak diperbaiki. Dinding tandas dipenuhi dengan beraneka lakaran dan contengan bakat, minat dan daya seni diluahkan pada dinding tandas.

Atas rasa prihatin saya pernah berjumpa dengan imam sebuah masjid, secara ikhlas memberitahu beliau tentang keadaan tandas yang kotor tidak diurus. Imam berkenaan seperti marah memberitahu: “Nama pun tandas, mestilah kotor! Mana ada tandas bersih?” Saya ingat imam dan petugas masjid seperti ini perlu banyak diajar tentang kebersihan.

Dia patut diajak melawat tandas awam di Tokyo atau paling tidak pun bawa dia ke Singapura untuk mengetahui bagaimana di negara bukan Islam pun orang mengutamakan kebersihan tandas.

Saya tidak mengharapkan tandas awam kita sebersih di Tokyo, Seoul, London, Venice dan lain-lain kota di negara bukan Islam yang pernah saya kunjungi. Tetapi tidaklah juga saya mengharapkan tandas awam kita sama teruk dan sama busuk dengan tandas angkut di rumah kita zaman sebelum merdeka dulu.

Kita sudah lebih enam dekad merdeka tetapi tandas awam kita termasuk di sesetengah lokasi strategik, kotor dan busuk seperti masyarakat primitif. Apakah keadaan tandas awam kita ini benar-benar mencerminkan sikap pengotor kita secara semula jadi? Cuba kita lihat tandas di rumah kita sekarang! Apakah tandas di rumah kita pun tidak lebih baik dan lebih bersih daripada tandas awam?


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia