Banjir monsun di India ragut sekurang-kurangnya 244 nyawa

Sekurang-kurangnya 244 orang dilaporkan jadi korban musim banjir monsun di India pada tahun ini. -Foto AFP
Sekurang-kurangnya 244 orang dilaporkan jadi korban musim banjir monsun di India pada tahun ini. -Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - India hari ini mengeluarkan amaran banjir baharu di beberapa bahagian negeri Kerala susulan jumlah kematian akibat banjir monsun pada tahun ini yang mencecah sekurang-kurangnya 244 orang.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk Kerala bahawa hujan lebat dijangka turun dalam tempoh 24 ke 48 jam berikutnya di beberapa wilayah yang paling teruk terjejas di negeri yang terkenal sebagai destinasi pelancongan itu.

Sementara itu, hujan lebat di negeri Kerala, Karnataka, Maharashtra dan Gujarat memaksa lebih 1.2 juta rakyat meninggalkan kediaman masing-masing dan mencari perlindungan di khemah yang disediakan kerajaan.

Kerala dilanda banjir paling teruk dalam tempoh hampir satu abad pada tahun lalu apabila sejumlah 450 kematian direkodkan.

Negeri itu juga masih memperbaiki kerosakan yang berlaku terhadap infrastruktur awam termasuk lebuh raya, landasan kereta api dan juga jalan raya.

Menurut polis Kerala, jumlah kematian di negeri itu pada musim monsun kali ini meningkat kepada 95 orang dalam masa semalaman, sekurang-kurangnya 59 yang lain dilaporkan hilang. - AFP

Artikel Berkaitan: