Rais sokong Zakir Naik dihantar pulang ke India

Kenyataan Rais di Twitter miliknya.
Kenyataan Rais di Twitter miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyokong gesaan agar pendakwah tersohor, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India.

Menurut Rais yang juga bekas menteri, tindak-tanduk Dr Zakir yang mencetuskan pelbagai kontroversi turut menjejaskan keharmonian negara.

“Sebelum Zakir Naik menetap di sini kita harmonis. Kini kaum Hindu pula dikacaunya dengan komen-komen memperkecilkan mereka.

“Zakir sedang berperanan bahaya batu api. Amat baik dia dipulangkan saja ke India,” katanya dalam satu hantaran di Twitter.

Rais berkata, keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membenarkan Dr Zakir menetap di negara ini juga telah mewujudkan isu diplomatik antara Malaysia dan India.

“Kerana dia, hubungan Malaysia-India juga muram. Kita ada banyak kerja lain lagi,” katanya.

Dr Mahathir semalam mengulangi pendirian beliau untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir ke negara asalnya.

Katanya, beliau bimbang sekiranya pendakwah itu mungkin dibunuh di India nanti.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Dr Zakir dalam ucapannya di Kelantan minggu lalu dilaporkan berkata, penganut Hindu di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India, Naderan Modi daripada Dr Mahathir.

Bagaimanapun hari ini, penceramah kontroversi itu mendakwa ucapannya berhubung penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.