Dr Mahathir pertahan projek kereta nasional ketiga

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas majlis sambutan 'KLIA turns 21: A precious legacy' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas majlis sambutan 'KLIA turns 21: A precious legacy' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mempertahankan keputusan kerajaan untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga.

Katanya, industri automobil bukan bersifat statik tetapi sering berkembang dan negara perlu berbuat sesuatu sekiranya tidak mahu ketinggalan.

"Ada yang mempersoalkan kenapa perlu membuat projek kereta nasional ketiga sedangkan negara sudah mempunyai kereta nasional.

"Perniagaan automobil tidak statik seperti industri-industri lain sebaliknya ia berubah-ubah dan berkembang.

"Sekiranya kita tidak teruskan (kereta nasional ketiga) kita akan tertinggal di belakang," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Ulang Tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA): A Precious Legacy di KLIA di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksaan kereta nasional ketiga yang telah diputuskan kerajaan.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut menafikan beliau yang meluluskan pemilihan syarikat DreamEdge Sdn Bhd untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga.

Katanya, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana pemilihan telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Pemilihan (syarikat DreamEdge) telah dibuat dan saya tidak ada apa-apa untuk dikatakan," katanya.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana melanggar janji untuk tidak menaja mana-mana syarikat untuk projek pembinaan kereta nasional ketiga.

Kenyataan Ka Siong dibuat selepas kerajaan menyalurkan dana kepada DreamEdge menerusi Malaysian Industry-Government for High-Technology (MIGHT).